Tajuk 1: Matlamat Pengurusan Kewangan.
____________________________________________________________________________
Pengenalan
Pengurusan dan perancangan adalah suatu yang amat mustahak dalam semua urusan kehidupan lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan harta atau kewangan. Kegagalan mengurus dan merancang sebenarnya seseorang itu mengurus dan merancang untuk kegagalan. Kegagalan merancang kewangan dengan bijak merupakan punca utama seseorang individu terjebak dengan pelbagai masalah dalam kehidupan.
Seseorang yang mempunyai perancangan dalam menguruskan kewangannya akan memperoleh gambaran yang jelas tentang kedudukan kewangan terkininya, memberi hala tuju yang tepat mengenai matlamat kewangan yang ingin dicapai yang akhirnya akan membolehkan seseorang itu mencapai matlamat yang diharapkan secara lebih efektif.
Perancangan kewangan adalah satu aktiviti yang dikawalselia oleh undang-undang. Individu yang ingin menjadi "Perancang Kewangan Bertauliah" perlu mendapat lesen daripada SC (Jadual 2, Capital Markets and Services Act 2007).
Secara lebih mendalam, perancangan kewangan itu merujuk kepada 'Perancang Kewangan' sebagai "seseorang yang membuat analisis kedudukan kewangan individu lain dan mencadangkan perancangan pelan kewangan agar individu berkenaan mencapai matlamat dan objektif kewangannya." (Suruhanjaya Sekuriti).
Dari sudut semasa, industri perancangan kewangan telah lama wujud di Malaysia tetapi bukan dalam bentuk satu disiplin profesional seperti yang ada sekarang. Diperakui oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) sejak tahun 2004 apabila SC menjadikan perancangan kewangan sebagai satu aktiviti yang memerlukan lesen.
____________________________________________________________________________
Konsep perancangan kewangan menurut Islam
Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana. Mengikut kacamata Islam, harta adalah alat untuk menjamin keselesaan hidup manusia di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Ia juga merupakan wasilah untuk mencapai takwa. Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia itu sama ada bersyukur atau sebaliknya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Anfaal ayat 28 yang bermaksud: Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu hanya sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah adalah pahala yang besar.
Perancangan kewangan menurut Islam adalah satu proses di mana matlamat kewangan individu digunakan untuk membangun dan melaksanakan pelan yang holistik untuk mencapai matlamatnya yang mematuhi syariah dan akhirnya mendapat keberkatan daripada Allah" (Mahadzir Ahmad, majalah VISI, Bilangan 95).
Sebagai agama yang sempurna Islam mengajar umatnya agar sentiasa mempunyai perancangan dalam menguruskan hal ehwal kehidupan mereka. Hal ini dapat dilihat menerusi al Quran dan sunnah. Antaranya firman Allah S.W.T dalam surah Yusuf ayat 67 yag menegaskan bahawa dalam menguruskan kehidupan jangan bergantung kepada satu pendekatan semata-mata tetapi perlulah mempelbagaikan pendekatan dan strategi. Setelah segala persiapan dan perancangan dilakukan maka hendaklah bertawakal kepada Allah. Ayat 47-48 di dalam surah yang sama Allah menegaskan pentingnya perancangan sebelum menghadapi atau melakukan sesuatu malah perlu bijak dalam menguruskan kehidupan agar tidak susah di kemudian hari.
Di dalam ayat 9, surah al-Nisa' juga Allah tegaskan perkara yang sama bahawa perlunya mempunyai perancangan untuk masa depan keluarga dan hendaklah bijaksana dalam menguruskan harta/kewangan.
Sebagaimana dalam surah al Hasyr ayat 18. Ayat ini cukup jelas menyentuh tentang kepentingan perancangan dalam kehidupan, kerana masa depan bergantung kepada perancangan kita hari ini selain daripada ketentuan Allah.
Perancangan kewangan juga merupakan salah satu daripada sunnah yang ditinggalkan Nabi Muhammad S.A.W. menurut perspektif islam, perancangan dan pengurusan kewangan mensasarkan sebagai satu wasilah bagi mencapai hasanah di dunia dan di akhirat sebagai matlamat akhirnya. Justeru, untuk memastikan matlamat ini dapat dicapai maka pelan perancangan perlu mengambil kira perbelanjaan untuk kemaslahatan sendiri seperti keperluan jasmani dan rohani, perbelanjaan untuk kemaslahatan orang lain seperti nafkah, sedekah dan juga perbelanjaan untuk kemaslahatan umum seperti membina masjid, hospital dan sebagainya.
Pengurusan kewangan menurut islam turut mengambil kira komponen-kompenen moden seperti pengurusan kredit dan aliran tunai, pengurusan risiko dan perancangan takaful, perancangan pelaburan Islam, perancangan zakat dan cukai , perancangan persaraan dan perancangan harta pusaka dan wakaf. Tedapat dua aspek yang dititikberatkan dalam pengurusan kewangan Islam iaitu:-
1. Bagaimana harta itu diperolehi, yang menitikberatkan kaedah pemilikan harta secara halal dan melibatkan pemilikan dan jual beli yang sah sama ada tentang barangan niaga, hadiah dan apa jua harta yang dimiliki.
2. Bagaimana harta itu dibelanjakan, sama ada untuk kebaikan ataupun sebaliknya. Islam membataskan pengurusan kewangan umatnya kearah kebaikan sahaja dan bukannya untuk kemudaratan sama ada kepada pihak lain ataupun diri sendiri.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Tidak akan berganjak kedua-dua kaki anak adam pada hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya pada apa ia dihabiskan, tentang usia mudanya pada apa digunakan dan tentang hartanya dari mana ia diperoleh dan bagaimana ia dibelanjakan dan tentang ilmunya pada apa ia diamalkan?" Oleh itu, aspek utama yang perlu diambil kira di dalam perancangan kewangan Islam adalah memperoleh keberkatan. Harta yang melimpah ruah tidak membawa apa-apa erti jika tidak ada padanya keberkatan, malah harta boleh menjadi fitnah, boleh menjadikan seseorang itu sentiasa berasa tidak cukup sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuklah rasuah, penyelewengan dan sebagainya.
Secara ringkasnya pengurusan kewangan yang bijak itu adalah yang dapat mengimbangi perbelanjaan dan pengurusan hutang, pelaburan yang mengikut syariah dan pendapatan yang mendapat keberkatan.
____________________________________________________________________________
Mengapakah kita memerlukan perancangan kewangan?
Pada setiap fasa hidup kita sama ada semasa bujang, semasa berumahtangga, mempunyai anak sehinggalah bujang sekali lagi, kita mempunyai kepentingan, tanggungjawab dan kehendak kewangan yang berbeza-beza mengikut keperluan. Setiap peringkat hidup memberikan kita peluang dan cabaran yang berbeza. Kehendak dan keperluan turut berubah manakala. Oleh itu perancangan kewangan membekalkan diri kita untuk menghadapi peluang dan cabaran krisis kewangan dan sebagainya. Perancangan kewangan bukan hanya dapat membantu kita memperbaiki tahap hidup kita, malah membantu mencapai kepuasan berbelanja. Selain itu, perancangan kewangan yang tepat membantu seseorang itu mengumpul harta dengan cara yang paling efisyen. Lantaran itu, perancangan ini turut menjamin kedudukan kewangan kita yang turut meningkatkan taraf hidup kita. Pokoknya, perancangan kewangan membekalkan kita idea untuk menguruskan kedudukan kewangan kita agar mencapai matlamat kewangan kita untuk memenuhi keperluan dan kehendak hidup kita sama ada di masa hadapan ataupun penggunaan semasa.
____________________________________________________________________________
Faedah perancangan kewangan
Perancangan kewangan merupakan satu proses yang dinamik yang memerlukan pemantauan dan penilaian yang berterusan, supaya kedudukan kewangan ddapat dikawal dengan tepat. Perancangan kewangan yang tulus dan tepat dapat menjanjikan pencapaian matlamat sebagai pulangannya. Tanpa suatu perancangan yang sesuai, seseorang individu itu mungkin akan terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko seperti wang simpanan yang tidak mencukupi untuk menampung kos pendidikan, wang pendahuluan untuk pembelian rumah atau menanggung kos hidup selepas bersara. Perancangan kewangan yang baik dapat membantu bagi mencapai:-
1. Menguruskan lain-lain perbelanjaan untuk persediaan menghadapi apa jua kemungkinan untuk berbelanja/kecemasan seperti sakit selain daripada mengharapkan perlindungan insurans.
2. Mengurangkan bebanan cukai, kerana bayaran cukai pendapatan dapat dikurangan sekiranya anda mengunakan setiap cara/peluang yang ada sebaik mungkin untuk mendapatkan pengecualian cukai.
3. Mecapai matlamat kewangan yang mampu memberikan sesuatu yang bermakna kepada keluarga dan diri sendiri. Sebagai contoh, membiayai perbelanjaan Universiti anak – anak, dan melancong menunjukkan strategi pengurusan kewangan yang terancang
4. Menanggung kos hidup persaraan. Pengurusan kewangan membolehkan kita mengekalkan cara hidup yang sama mahupun selepas bersara. Kemungkinan besar, memulakan satu tabung simpanan untuk menampung perbelanjanaan selepas bersara adalah perlu sebagai tambahan kepada KWSP.
5. Mengekalkan hubungan ynag lebih baik dengan mengelakkan diri daripada meminjam daripada orang lain. Perkara ini boleh mengekalkan hubungan yang lebih baik dengan keluarga, sahabat dan rakan sekerja, kerana anda tidak perlu meminjam atau mengharapkan bantuan kewangan daripada sesiapa.
6. Bebas daripada masalah kewangan dengan perancangan aliran kewangan dapat menjangkakan perbelanjaan yang bakal dihadapi dan akhirnya mencapai matlamat hidup.
7. Mengambil berat terhadao orang yang disayangi. Membolehkan pengurusan dan peracangan perbelnjaan hidup bersama insane yang tersayang seperti untuk tujuan perkahwinan ataupun berbulan madu.
1 comments:
salam tuan ....nak copy boleh ye:)
Post a Comment